Monday, July 9, 2007

Penghasilan Besi Cair Menggunakan Relau Bagas




Besi tulen cair terhasil daripada proses penurunan bijih oksida kepada besi tulen. Antara kaedah terbaik adalah dengan menggunakan relau bagas. Pertama tangki relau bagas diisi penuh dengan besi oksida (bijih, penabur, sinter), batu kapur atau dolomit dan bahan bakar ( arang kok) di bahagian corong atas. Seterusnya gas oksigen disuntik ke dalam tangki untuk membantu pembakaran. Gas oksigen akan bertindak balas dengan arang kok dan menghasilkan gas karbon dioksida. Kemudian gas karbon dioksida yang terhasil tadi akan bertindak balas pula dengan arang kok menghasilkan gas karbon monoksida. Gas monoksida yang dihasilkan pula digunakan untuk bertindak balas dengan besi oksida untuk menghasilkan besi cair tulen dan gas karbon dioksida. Gas karbon dioksida ini tidak diperlukan dan dikeluarkan melalui corong atas.

Hasilnya dua produk diperolehi dari relau ini ialah besi tulen lebur yang mana ia terkumpul di dasar relau (perdiangan) kerana jisimnya yang lebih berat dan cecair jermang (slag) terapung di atas besi lebur. Proses ini dijalankan pada suhu 1500C. Besi cair tulen akan keluar melalui corong yang paling bawah manakala slag keluar pada bahagian corong atas sedikit iaitu pada bahagian terdapatnya slag cair.

'Slag'(jermang) adalah cairan yang terhasil semasa proses penurunan bijih besi, di mana ianya mengandungi silika dan alumina yang terhasil dari tindak balas oksida besi batu kapur dan magnesium oksida. 'Slag' ini sesuai digunakan untuk penghasilan simen untuk bahan binaan terutama pembuatan konkrit dan jalanraya.